Hamdi Koncong, 57, yang me­ngalami kesukaran untuk berjalan tinggal seorang diri di rumah yang disewa sejak beberapa tahun lalu dan terpaksa menguruskan keper­luan diri selepas anak-anaknya bekerja di kawasan lain.

“Saya disahkan mengalami masalah saraf lebih 10 tahun lalu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa masih berkhidmat dalam angkatan tentera.

“Saya mengambil keputusan untuk bersara awal kerana kea­daan kesihatan yang tidak me­ngizinkan untuk terus berkhidmat dalam pasukan keselamatan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dia yang tidak berpencen ha­nya bergantung hidup dengan upah memotong ayam untuk dibuat sate daripada seorang peniaga serta bantuan bulanan sebanyak RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RM400 sumbangan Baitulmal dan RM200 daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Hamdi mengakui pertemuan tersebut selepas sekian lama terpisah dengan rakan-rakan sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Chemplak mampu mengubat rasa sunyi dan berasa dihargai.

Sementara itu, ahli kumpulan tersebut, Isa Jaafar, 57, berkata, idea mengumpul rakan-rakan tahun 1960 di SK Chemplak timbul selepas pertemuannya de­ngan Mazlan Abdullah, Mohamad Surip dan Zabidin Surip pada awal tahun ini dan sekarang mereka sudah berjaya menjejak 35 orang rakan lain.

Mereka yang sering berhubung menerusi aplikasi WhatsApp sentiasa merancang untuk mengunjungi dan membantu rakan lain terutamanya yang kurang bernasib baik atau sakit setiap kali berkesempatan.

Mohamad, 57, pula mengakui aktiviti yang dirancang bukan sahaja mampu merapatkan hubu­ngan dalam kalangan mereka, malah turut membuka peluang dalam pelbagai bidang kepada anak-anak kerana latar belakang ahli yang pelbagai ketika ini.

“Terdapat rakan kami yang telah berjaya menjawat jawatan penting dalam perkhidmatan awam selain berjaya sebagai usahawan dan ini memberi peluang kepada kami bertukar informasi untuk faedah anak-anak.

“Saya harap hubungan silaturahim ini akan dikekalkan oleh generasi akan datang selepas ketiadaan kami nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE