‘Siasat Semua Kemungkinan’

SHAH ALAM: Siasatan polis dalam kes bunuh dan bakar empat beranak di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Banting semalam, kini terarah kepada kemungkinan mangsa mengenali suspek kejadian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya masih mencari petunjuk yang boleh dikaitkan dengan kes berkenaan.

“Belum ada tangkapan dibuat setakat ini, namun kami percaya kes ini boleh diselesaikan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis masih menunggu keputusan laporan bedah siasat untuk mengenal pasti sama ada mangsa mati dibunuh sebelum kebakaran atau sebaliknya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, sepasang suami isteri serta dua cucu mereka ditemui mati terbakar di dalam sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Banting.

Mangsa dikenal pasti sebagai Chia Tee Nang, 73, dan isteri, Lim Mai Shak, 68, serta cucu mereka, Ryan Chia Zeng Xi, 10, dan Chia Yuan Bin yang berusia tiga tahun.

Seorang lagi cucu pasangan itu yang berusia 12 tahun sempat bersembunyi sebelum menyelamatkan diri meminta bantuan.

Siasatan awal mendapati tiga daripada mangsa mempunyai kesan tetakan di badan dan dipercayai disamun sebelum dibunuh dan rumah berkenaan dibakar. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.