Isu Felda Tidak Jejas Persiapan PRU14 – Shahidan

KUALA LUMPUR – Siasatan terhadap isu pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak tidak akan menjejaskan persiapan pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Shahidan berkata beliau juga yakin segala isu dan masalah yang dihadapi sedang dan telah diselesaikan secara baik oleh pihak kerajaan tanpa menjejaskan kewibawaan Barisan Nasional.

“Saya ingat tak ada masalah (isu Felda). Apa sahaja pendirian kerajaan(mengenai isu tersebut), saya tetap akan sokong.

Kita kena ingat, apa sahaja masalah sudah pasti kerajaan dapat menyelesaikan dengan baik. Kita akan menghadapi PRU14 dan kita telah bersiap sedia. Semua masalah juga kita tangani dengan baik dan kita mengambil pendekatan kasih sayang, bukan caci mencaci dan fitnah memfitnah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Krismas peringkat Wilayah Persekutuan di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan dan Presiden MyPPP Tan Sri M Kayveas. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.