10 Bayi Tahun Baru Dilahirkan Di HTJ

SEREMBAN: Sepuluh bayi bertuah apabila dilahirkan pada Tahun Baru 2018 di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, bermula jam 1.46 pagi tadi.

Sehingga jam 9 pagi, HTJ menerima seramai lima bayi lelaki dan lima bayi perempuan.

Suri rumah, Nor Hamizah Musa, 25, berkata dia tidak menyangka melahirkan bayi perempuan pada hari ini, kerana tarikh dijangka bersalin adalah pada Ahad ini.

Katanya yang menjadi ibu pertama melahirkan anak di HTJ pada tahun ini, dia bersyukur kerana melahirkan anak sulung seberat 3.1 kilogram secara normal dan tanpa masalah.

“Kelahiran anak ini akan memberi makna yang amat berharga buat saya dan suami, Muhamad Amirul Mohammad, 26, kerana tarikh ini yang amat mudah diingati,” katanya ketika ditemui di Wad Bersalin HTJ, di sini, hari ini.

Dia yang berkahwin pada Mac tahun lalu berkata, selain itu dia juga berterima kasih kepada kerajaan kerana bakal menerima RM200 menerusi skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).

Katanya, wang itu akan menjadi permulaan simpanan buat anaknya, sebelum ditambah lagi demi masa depan anaknya yang lebih terjamin. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.