‘Bukan Saya Uruskan Bayar Cukai, Kereta Saya Banyak’ – Aliff Syukri

KUALA LUMPUR: “Bukan saya yang uruskan pembayaran cukai kereta itu”.

Pengasas D’Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri, mengakui terkejut sebaik mendapat tahu kereta mewah miliknya disita pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di Jalan Bangsar di sini, malam tadi.

“Saya tidak tahu-menahu mengenai pembayaran cukai kereta. Semua perkara berkaitan kereta diuruskan oleh pengurus saya.

“Saya bukan ada satu kereta, saya ada banyak kereta.

“Esok saya akan pulang ke Malaysia untuk menyelesaikan perkara ini. Saya ingin meminta maaf kepada JPJ jika ada buat salah,” katanya kepada BH ketika dihubungi, hari ini.

Aliff kini berada di Bali, Indonesia atas urusan perniagaan.

Malam tadi, JPJ menyita sebuah kereta mewah jenis Rolls Royce Ghost milik jutawan kosmetik itu dalam Ops Patuh yang diadakan sempena sambutan ambang tahun baharu.

Dua warga Australia yang berada dalam kenderaan berkenaan turut ditahan masing-masing kerana tidak memiliki lesen memandu sah di negara ini dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan Sarawak tetapi ia digunakan di Semenanjung.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, dipetik sebagai berkata, kesalahan itu dikategorikan sebagai penipuan lokasi pengisytiharan penggunaan LKM. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.