Lebih 30,000 Murid Tahun Satu Di Kedah

LANGKAWI: Seramai 30,409 murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan 2018 di 548 sekolah rendah seluruh negeri ini, hari ini.

Pengarah Pendidikan Kedah, Datuk Azuyah Hassan, berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan kira-kira 200 murid berbanding murid Tahun Satu yang mendaftar pada sesi persekolahan tahun lalu, iaitu seramai 30,275 orang.

Beliau berkata, daripada jumlah itu daerah Kuala Muda/Yan paling ramai iaitu seramai 8,361 orang, diikuti Kota Setar (5,799), Kulim/Bandar Baharu (5,080), Kubang Pasu (3,471), Baling/Sik (3,290), Langkawi (1,678), Pendang (1,626) dan Padang Terap (1,104).

“Buat masa ini, segala keperluan dan bilik darjah mencukupi bagi menempatkan semua murid baharu berkenaan.

“Dalam tinjauan hari ini, saya turut berpuas hati dengan persediaan yang dibuat pengurusan dua sekolah rendah di Pulau Tuba iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Tuba dan SK Lubuk Chempedak, selain SK Selat Bagan Nyiur di Pulau Dayang Bunting,” katanya ketika ditemui selepas meninjau hari pertama persekolahan sesi 2018 di Pulau Tuba di sini, hari ini.

Terdahulu, Azuyah tiba di SK Pulau Tuba jam 9 pagi dan disambut Guru Besarnya, Zifni Adeli, sebelum meninjau suasana di kelas yang menempatkan murid Tahun Satu, selain bertanya khabar dengan murid dan guru di sekolah itu.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Pendidikan Kedah, Rozaini Ahmad; Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan Jabatan Pendidikan Kedah (JPK), Shaari Saidin; Ketua Unit Perhubungan dan Pendaftaran JPK, Abdullah Abdul Manaf dan Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi, Halid Ali.

Sementara itu, Zifni yang baru tiga bulan menjawat jawatan guru besar di sekolah itu menyifatkan lawatan Azuyah pada hari pertama persekolahan mencatat sejarah tersendiri di sekolah itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengarah….. ini juga satu sejarah dan suntikan motivasi kepada saya sebagai guru besar baharu di sekolah ini,” katanya ketika ditemui di sini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.