Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerjaan Kebangsaan Di UTC Seluruh Negara

PUTRAJAYA – Sebanyak 12 Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerjaan Kebangsaan mula beroperasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara tahun ini bagi menyediakan perkhidmatan pekerjaan secara inklusif kepada rakyat, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Beliau berkata pusat sehenti itu yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat JobsMalaysia, menyediakan khidmat nasihat berkaitan aspek pekerjaan dan latihan di bawah satu bumbung melalui penglibatan agensi seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Unit Peneraju Agenda Bumiputra (Teraju), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

“Penubuhan pusat ini di UTC merupakan satu inisiatif bersepadu kerajaan bagi menyediakan perkhidmatan pekerjaan dan latihan secara berstruktur bersesuaian dengan keperluan semasa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Riot berkata penubuhan pusat tersebut bertitik tolak daripada saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Bajet 2018 yang menekankan tentang pewujudan Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerjaan Kebangsaan di UTC.

Menurutnya pusat berkenaan turut menyediakan perkhidmatan pendaftaran pencari kerja; bimbingan kerjaya; pemadanan pekerjaan; temu duga terbuka oleh majikan; pendaftaran, permohonan dan temu duga untuk penyertaan program SL1M; pendaftaran dan permohonan program Teraju; serta permohonan kemudahan latihan melalui PSMB. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.