Nelayan Diminta Bantu Kesan Suspek Kes Tikam, Tetak

DUNGUN: Polis meminta bantuan nelayan mengesan seorang awak-awak warga Kemboja yang melarikan diri dengan terjun ke laut berhampiran Pulau Tenggol di sini, selepas menikam dan menetak tekong botnya hingga parah, Jumaat lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail, berkata pihaknya kini bekerjasama dengan Polis Marin untuk memburu suspek berusia 24 tahun.

“Jarak antara Pulau Tenggol dengan lokasi suspek terjun ke laut adalah kira-kira satu jam perjalanan menaiki bot dan sehingga hari ini suspek masih belum ditemui.

“Polis dengan kerjasama Polis Marin masih meneruskan gerakan memburu suspek dan kita memohon nelayan yang menemui suspek atau mayat di laut supaya segera menghubungi polis,” katanya selepas menyaksikan majlis serah tugas Ketua Polis daerah Dungun di Ibu Pejabat Polis daerah Dungun, hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Kemaman, Baharudin Abdulah yang dinaikkan pangkat Superintendan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Dungun yang baru, menggantikan Superintendan Ahmad Zailani Yaacob.

Ahmad Zailani Yaacub yang dinaikkan pangkat Asisten Komisioner berpindah ke Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah (Gerakan) Bahagian Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Mengulas lanjut Aidi berkata, siasatan awal mendapati perselisihan faham mengenai dadah dikatakan menjadi punca suspek bertindak menikam dan menetak tekong botnya itu.

“Suspek turut bertindak membuang pisau dan kayu yang digunakan dalam pergaduhan itu.

“Kita juga menahan tiga lagi awak-awak warga Myanmar dan Kemboja berusia 29 hingga 37 tahun yang berada dalam bot dan turut terbabit dalam pergaduhan itu. Hasil ujian air kencing juga mendapati semua mereka positif dadah.

“Semua awak-awak itu masih ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang Jumaat lalu, mangsa berusia 48 tahun terpaksa menahan sakit lebih lapan jam pelayaran sebelum tiba di Jeti Kuantan, Pahang, dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk menerima rawatan.

Sebelum kejadian, mangsa bersama empat lagi awak-awak termasuk suspek berusia 24 hingga 37 tahun, menangkap ikan di sekitar perairan Pulau Tenggol, sebelum mereka tiba-tiba bergaduh dan suspek bertindak agresif sebelum menikam dan menetak mangsa. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.