3 Tahun Dukung Cucu Kudung Ke Sekolah

GUA MUSANG: “Tiga tahun pakcik mendukung cucu untuk menghantar dan mengambilnya di sekolah setiap hari kerana dilahirkan tanpa kedua-dua kaki,” kata Mazuki Saat.

Bagaimanapun, mulai semalam, kehidupan Muhammad Affin Abdullah, 10, mula berubah apabila menerima sumbangan kaki palsu daripada seorang ahli korporat dari Kuala Lumpur.

Mazuki, 64, dari Kampung Lepan Jaya, di sini, berkata dia begitu terharu apabila cucunya yang bersekolah di Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Lepan Jaya menerima sumbangan kaki palsu itu.

“Kini pakcik tidak perlu mendukungnya lagi tetapi akan tetap memantau perjalanannya setiap hari ke sekolah. Selain cacat kedua-dua kaki, Muhammad Affin juga dilahirkan tanpa lengan kiri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sumbangan kaki palsu itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusof, di SK Lepan Jaya, semalam.

Mazuki berkata, sebelum ini dia mendukung Muhammad Affin sejauh kira-kira 500 meter dari rumah ke sekolah.

Katanya, dia memelihara cucunya itu sejak dilahirkan selepas kedua-dua ibu bapanya bekerja di tempat lain.

Sementara itu, Ab Aziz berkata, beliau bersimpati dengan Muhammad Affin yang cacat kedua-dua kaki dan tangan kiri.

“Saya berusaha mendapatkan bantuan kaki palsu dan akhirnya mendapat sumbangan daripada seorang ahli korporat dari Kuala Lumpur,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.