‘Google Translate Punca Kesilapan’

IPOH: “Jangan berlagak pandai. Rujuk dahulu ketua jabatan sebelum mengeluarkan sebarang notis pemberitahuan bagi menjaga nama baik jabatan.”

Itu peringatan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berhubung kesilapan ayat bahasa Inggeris di Pusat Penerangan Pelancongan Perak (ITIC), sehingga viral di media sosial, baru-baru ini.

Katanya, penggunaan ‘Google Translate’ punca kesalahan penulisan notis terbabit yang dilakukan oleh seorang kakitangan bertugas di ITIC.

“Saya difahamkan kakitangan terbabit guna aplikasi Google Translate mengubah ayat kepada bahasa Inggeris supaya nampak elegan dan lebih internasional.

“Saya kesal dengan keadaan ini, lebih-lebih lagi ia di tempat untuk mendapatkan maklumat destinasi pelancongan ITIC. Saya sudah menghubungi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi mendapatkan penjelasan.

“Walaupun perkara ini nampak kecil, impaknya besar. Jadikan ini pengajaran dan mana-mana kakitangan, sebelum nak keluarkan notis tatapan awam, kena rujuk dahulu ketua jabatan masing-masing, jangan buat pandai dan rasa kita (diri) ni hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kubu perlindungan bawah tanah lama, di sini, hari ini.

Kubu berdekatan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh (LTSAS) itu dibina ketika Perang Dunia Kedua.

Zambry turut mengingatkan segala urusan rasmi kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dilakukan dalam bahasa Malaysia.

“Perkara ini sudah saya sebut berulang kali. Apa juga notis atau pemberitahuan perlu dibuat dalam bahasa Malaysia terlebih dahulu. Jika dalam bahasa Inggeris pun ia akan ditulis bersama atau diterjemahkan.

“Apabila sudah terjadi seperti ini, ia seolah-olah menunjukkan kita tidak serius dan boleh mengundang tohmahan,” katanya.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man dalam satu kenyataannya sebelum ini dilaporkan berkata, kakitangan terbabit akan diberi surat amaran keras serta nasihat, jika terbukti melakukan kesilapan atau kecuaian. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.