Jemaah Umrah Perlu Ambil Langkah Elak Penyakit Berjangkit

ALOR GAJAH – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menasihatkan agar rakyat Malaysia yang berhasrat menunaikan ibadah umrah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kemungkinan penyakit berjangkit.

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata jemaah umrah juga perlu lebih peka terhadap maklumat yang dikeluarkan oleh pihak berkaitan dan semua langkah itu perlu diambil agar mereka tidak mendatangkan risiko kesihatan terhadap jemaah lain.

“Kita pun tak boleh menjangkakan sebarang kemungkinan yang mana kadang kala kita rasa mungkin tidak merebak (penyakit) tetapi sebaliknya yang terjadi.

Justeru, saya berharap agar semua jemaah lebih berwaspada selain lebih peka terhadap pengumuman yang dibuat oleh pihak berkuasa kementerian dan berkaitan sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih Cawangan Umno Ayer Limau, Masjid Tanah di sini.

Bernama pada Isnin lepas melaporkan seorang lelaki disahkan dijangkiti penyakit Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) selepas pulang daripada mengerjakan umrah.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan sedang menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan, termasuk pengesanan serta pemantauan ke atas kenalan rapat kepada pesakit seperti ahli keluarga, jemaah umrah dalam kumpulan yang sama, anggota kesihatan di fasiliti kesihatan yang merawat serta kontak rapat dalam pesawat yang dinaiki oleh pesakit.

Pada program itu, Mas Ermieyati meluangkan masa kira-kira dua jam untuk menziarahi enam buah rumah dalam kalangan golongan kurang berkemampuan di kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri Umno berkata, Puteri Umno bersedia untuk menghantar sukarelawan ke Pantai Timur bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir melalui Program Puteri Peduli. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.