Kes Tikam: Suspek Dipercayai Buang Pisau Di Desaru

JOHOR BAHRU: Polis sedang mengesan pisau digunakan suspek utama kes tikam dan gilis di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Bahru pada 17 Disember tahun lalu, dipercayai dibuang di laluan ke Desaru, Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata hasil siasatan terhadap suspek utama kes berkenaan mendapati pisau digunakan untuk menikam mangsa dibuang di kawasan itu.

Katanya, siasatan pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditubuhkan bagi kes terbabit turut mendapati suspek utama itu pernah terbabit dengan dua kejadian samun di Kulai dan Batu Pahat.

“Polis sedang mengenal pasti kawasan suspek membuang pisau dipercayai digunakan untuk menikam mangsa dalam kejadian berkenaan iaitu dalam perjalanan ke Desaru.

“Kita akan lakukan siasatan rapi dan dalam tempoh terdekat ini akan kemukakan hasil dan kertas siasatan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Johor yang baharu, Senior Asisten Komisioner, Kamaluddin Kasim.

Mohd Khalil berkata, sehingga kini pasukan khas berkenaan masih menjalankan siasatan dan belum dibubarkan bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalil memaklumkan pihaknya kini di peringkat menyelesaikan kertas siasatan untuk dibawa kepada Pejabat Peguam Negara berhubung tangkapan membabitkan Ops Darjah.

“Selain kes bunuh stesen minyak, ini adalah antara kes berprofil tinggi yang direkodkan pada suku keempat tahu lalu dan dalam proses ke pihak pendakwa raya dan Pejabat Peguam Negara.

“Saya harap ia mendapat keputusan segera (dibawa ke mahkamah),” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.