Shuib Buta Warna – Siti Sarah

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Siti Sarah Raisuddin, tidak menyangka foto bersama suami, Shuib (Sepahtu) dan ibu mentuanya, kecoh dalam kalangan netizen hanya kerana wajahnya kelihatan lebih gelap daripada biasa.

Sarah berkata, beliau sedih bukan kerana beliau dikecam, tetapi suaminya yang mempunyai masalah buta warna sehingga tidak nampak dengan jelas warna foto yang dimuat naik di Instagram milik pelawak itu.

“Assalamualaikum semua, secara jujurnya saya betul-betul tidak menyangka gambar hadiah hari lahir ibu Shuib menjadi perhatian ramai.

SITI Sarah menjelaskan mengenai kontroversi warna kulitnya rentetan gambar yang dimuat naik oleh Shuib.

“Secara jujurnya saya rasa sangat sedih bukan sebab orang mengata saya, tetapi mungkin ramai yang tidak tahu Shuib buta warna.

“Dia tak tahu pun warna apa yang dia muat naik (foto) di Instagram. Banyak warna yang dia tak nampak.

“Walhal, kami memakai jenama telefon yang sama. Lagi pun, ibu Shuib yang putih melepak pun nampak seperti (terkena) selaran matahari (sunburn),” jelas Sarah menerusi Instagramnya.

Buta warna atau kekurangan penglihatan warna adalah ketidakbolehan seseorang melihat warna, atau melihat perbezaan warna, di bawah keadaan cahaya normal.

Baru-baru ini, Shuib memuat naik fotonya bersama Sarah menghadiahkan sebuah kereta kepada ibu beliau, sempena hari lahir wanita itu.

Bagaimanapun, wajah Sarah dalam foto berkenaan yang kelihatan sedikit gelap berbanding biasa mengundang kecaman.

Ramai yang menyifatkan Sarah kelihatan cerah sebelum ini selepas menyunting gambarnya.

Sementara itu, Sarah turut menjelaskan, wajahnya tampak cerah memandangkan beliau selalu mengambil foto di tempat bercahaya terang.

“Ramai yang kutuk, mengatakan sebenarnya saya hitam, tetapi (nampak cerah selepas) sunting gambar. Ya, saya mengaku saya selalu ambil gambar di tempat yang bercahaya terang. Mana ada orang nak ambil gambar bertentangan dengan cahaya?

“Secara jujurnya, saya memang tak putih macam orang putih, tetapi kalau nak dibandingkan dengan saya yang dulu, memang saya lebih cerah sekarang. Sebab saya memang ambil produk seperti memakai losyen, sabun dan pil untuk kulit cerah.

“Mungkin ramai yang marah sebab saya tak kongsi, saya makan dan pakai produk apa? Di sini saya ada contoh gambar dulu yang berhadapan dengan cahaya terang sampai nampak refleksi cahaya di pipi dan gambar baharu, tetap gambar lama nampak lebih gelap,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.