Jenazah Mangsa Lemas Banjir Pertama Di Pahang Selamat Dikebumi

KUANTAN – Jenazah kanak-kanak mangsa lemas banjir pertama di negeri ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Bukit Sagu 1, di sini, hari ini.

Jenazah Muhammad Faris Aqeel Mohd Afif, 7, yang ditemukan lemas di dalam parit berhampiran rumahnya di Kampung Padang Jaya di sini dikebumikan pukul 10.30 pagi tadi.

Bapanya, Mohd Afif Abd Razak, 32, yang ditemui di rumah keluarganya di Felda Bukit Sagu 1, melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam urusan pengebumian anak sulungnya itu.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada seorang guru yang sempat menyelamatkan anak saya semalam Mohd Firas Adam, 5.

Beliau yang datang menziarah kami pagi tadi menceritakan ketika itu hanya sebelah tangan anak saya terkapai di permukaan air sebelum sempat mencapainya,” katanya.

Ketika itu guru berkenaan sendiri tidak menyedari Muhammad Faris telah tenggelam di dasar parit sedalam lapan meter itu.

Sementara itu, Mohd Afif juga menerima kunjungan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah di rumah keluarganya itu dan satu majlis tahlil ringkas turut diadakan.

Sementara itu Md Sohaimi menasihati ibu bapa agar mengawasi anak-anak mereka supaya tidak bermain di kawasan parit atau sungai semasa musim banjir untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak dingini. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.