Kanak-Kanak OKU Cedera Disyaki Didera Bapa

PENDANG – Seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia sembilan tahun melecur pada kedua-dua belah tapak kakinya selepas disyaki didera bapa kandungnya menggunakan besi panas di rumah mereka di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Pendang DSP Fadzil Hashim berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu selepas guru sekolah tempat mangsa belajar membawa mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

“Pihak sekolah simpati dengan mangsa…apabila ditanya kanak-kanak itu memberitahu dia dipukul bapanya sejak beberapa hari lepas dan kita syaki mangsa didera,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Akibat kejadian itu, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, mangsa yang juga OKU kategori masalah pembelajaran kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.