Mangsa Banjir Di Terengganu Terus Meningkat

KUALA TERENGGANU – Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 1,364 orang daripada 340 keluarga setakat pukul 8 malam ini berbanding 1,001 orang daripada 264 keluarga pagi tadi.

Menurut laporan portal Info Banjir, peningkatan jumlah mangsa banjir itu disebabkan pembukaan dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman dan penambahan mangsa di PPS sedia ada menjadikan jumlah keseluruhan 15 PPS beroperasi di Terengganu ketika ini.

Daerah Kemaman paling teruk terjejas ketika ini dengan 1,158 mangsa (263 keluarga di 13 PPS) manakala di Dungun, seramai 206 mangsa (77 keluarga) masih berada di dua PPS.

Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok terus merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 473 orang (100 keluarga) berbanding 415 orang (87 keluarga) sebelum ini.

PPS lain yang turut merekodkan peningkatan jumlah mangsa ialah Surau Pulau Tempurung menempatkan (105 orang – 18 keluarga), Masjid Kampung Batu 14 (13 orang – empat keluarga), Masjid Kampung Batu 16 Tebak (50 orang – 14 keluarga) dan Dewan Sivik Felda Seberang Tayor (226 orang – 60 keluarga).

Penambahan mangsa turut berlaku di Dewan Orang Ramai Teladas terdapat 23 orang (empat keluarga) dan Surau Haji Othman di Kampung Seberang Tayor Hulu (59 orang – 17 keluarga).

Dua PPS yang baharu dibuka ialah di SK Binjai (74 orang – 15 keluarga) dan Bangunan Pusat Pemindahan Lubuk Mayat (23 orang – empat keluarga).

Empat PPS sedia ada pula kekal tidak berubah seperti pagi tadi iaitu di Surau Kampung Ban Ho di Air Putih (26 orang – lima keluarga), SK Chukai (sembilan orang – dua keluarga), Kampung Pasir Gajah (12 orang – empat keluarga) dan Dewan Orang Ramai Batu 14 (65 orang – 16 keluarga).

Di Dungun, jumlah mangsa banjir kekal tidak berubah di mana PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor menempatkan 175 orang (61 keluarga) manakala di Dewan Orang Ramai Pasir Raja masih menempatkan 77 orang (31 keluarga). – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.