Peneroka Felda Tenang Hulu Besut Bantah Kesatuan Eropah Boikot Minyak Sawit Malaysia

BESUT – Seramai 140 peneroka Felda Tenang, Hulu Besut hari ini berhimpun bagi membantah tindakan Kesatuan Eropah (EU) yang memboikot minyak sawit darI Malaysia.

Ketua Peneroka Felda tersebut, Tengku Heng Ku Besar berkata mereka yang hadir sepakat menunjukkan solidariti membantah keputusan EU kerana ia menjejaskan ekonomi komuniti Felda.

Katanya, mereka yang berkumpul sejak awal pagi tadi mewakili 287 peneroka di Felda terbabit dan berpendapat tindakan EU itu berat sebelah kerana menyasarkan minyak kelapa sawit secara khusus tetapi tidak minyak sayuran lain.

“Resolusi yang dibuat oleh EU dilihat tidak adil kerana mengenakan tindakan hanya kepada minyak kelapa sawit secara khusus dan tidak kepada minyak sayuran lain. Komuniti Felda akan menghadapi kesan buruk jika pasaran minyak kelapa sawit dari Malaysia terjejas jualannya.

“Ekoran kempen memboikot minyak sawit Malaysia, harga kelapa sawit menurun hingga mengusarkan peneroka. Kalau sebelum bulan November setiap tan buah kelapa sawit mampu dijual dengan harga sekitar RM600 tetapi kini semakin menurun sehingga sekitar RM400 sejak seminggu lalu,” katanya kepada pemberita.

Beliau berharap langkah segera akan diambil oleh kerajaan agar usaha EU untuk memboikot minyak kelapa sawit keluaran Malaysia dapat dihentikanbagi menjaga kesejahteraan 650,000 pekebun kecil yang bergantung kepada perladangan sawit sebagai punca pendapatan utama mereka. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.