Sungai Golok Capai Paras Amaran

RANTAU PANJANG: Penduduk di daerah ini mula bimbang apabila paras air Sungai Golok sudah mencapai paras amaran, hari ini.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, sehingga jam 9 pagi ini, paras air Sungai Golok pada bacaan 8.07 meter sekali gus melepasi paras amaran iaitu 8 meter.

Penduduk, Bahari Mamat, 47, berkata dia sudah mula mengambil tindakan awal dengan mengemas rumah dan menyimpan dokumen penting kerana bimbang gelombang kedua akan melanda.

Katanya, sejak beberapa hari ini dia akan ke Sungai Golok terutama ketika awal pagi bagi melihat sendiri paras air kerana rumahnya di Kampung Parit Air, di sini, juga akan dinaiki air jika sungai itu mula melimpah.

“Maklumat media tempatan keadaan banjir di beberapa kawasan Pantai Timur sedikit sebanyak menunjukkan tanda gelombang kedua akan berlaku.

“Mengikut pengalaman saya yang hampir setiap tahun menghadapi banjir, jika hujan masih berterusan dalam beberapa hari ini limpahan air sungai akan berlaku sekali gus menyebabkan banjir.

“Beberapa kawasan rendah di Rantau Panjang ini sudah pun dinaiki air namun masih lagi terkawal,” katanya ketika ditemui BH di Pengkalan Gergaji, di sini, hari ini.

Paras air berjaga-jaga di Sungai Golok ialah 7 meter manakala paras amaran 8 meter dan bahaya pada paras 9 meter.

Bahari berkata penduduk biasanya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi banjir.

“Setakat ini, aktiviti perniagaan di pekan ini masih berjalan seperti biasa dengan kunjungan orang tempatan dan dari luar Kelantan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.