24 Penduduk Dipindahkan Susulan Tanah Runtuh

KOTA SAMARAHAN: Seramai 24 penduduk daripada tiga keluarga di Kampung Tambirat, di sini, terpaksa dipindahkan apabila rumah mereka terjejas akibat tanah runtuh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mereka kini menumpang di rumah ahli keluarga.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu pada jam 1.35 tengah hari tadi.

“Empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan dikejarkan ke lokasi dan mendapati tanah runtuh kira-kira seluas 30 meter di Jalan Kampung Lama, Tambirat.

“Runtuhan itu menjejaskan tiga rumah dan sistem paip air dan bekalan elektrik turut terjejas,” katanya.

Beliau berkata, anggota bomba bertindak membuat pemantauan serta memasang sawar-sawar untuk memberi amaran supaya penduduk berhati-hati.

“Anggota bomba juga membantu memindahkan barang-barang penghuni rumah yang terjejas ke rumah sanak saudara yang berhampiran.

“Anggota bomba juga akan sentiasa membuat rondaan di sekitar lokasi kejadian untuk kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.