Bimbang Keselamatan Bayi, Ibu Berpindah Awal Ke PPS

DUNGUN – “Sebaik melihat air mula naik setinggi paras lutut di halaman rumah, saya dan suami terus mengemas barang untuk berpindah kerana perkara paling penting yang saya fikirkan ketika itu ialah keselamatan bayi kami,” kata Suraya Ghazali.

Suraya, 21, adalah antara 175 mangsa yang berada di Dewan Orang Ramai Kampung Shukor di sini, setelah banjir melanda rumahnya pada Isnin lalu.

Beliau juga sangat bersyukur kerana bayi sulungnya, Wan Aira Qaisara yang berusia lima bulan, langsung tidak meragam sepanjang empat hari berada di pusat pemindahan sementara (PPS) itu.

“Mulanya saya risau juga sebab perlu berpindah dengan bayi kecil yang masih menyusu badan. Alhamdulillah, perasaan bimbang lenyap serta merta apabila melihat bayi saya tidak menangis walaupun terpaksa tinggal beramai-ramai di dewan ini.

“Malah, Aira juga kelihatan sangat selesa dan ceria kerana sentiasa ‘dikelilingi’ kanak-kanak lain yang suka melayan keletahnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.