Ingatkan Air Paras Lutut Macam Biasa

BEAUFORT: “Saya ingat banjir paras lutut seperti selalu, namun apabila hampir sampai ke rumah, saya dapati jalan sudah tenggelam dan tidak boleh dilalui.”

Demikian diceritakan penduduk Kampung Kayai, Marcellus Unsiu, 31, yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Sekolah Menengah (SM) St Patrick di Membakut selepas rumahnya dinaiki air sehingga paras dada sejak tiga hari lalu.

Marcellus yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Pekan Beaufort, berkata dia menyedari rumahnya digenangi banjir ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bekerja pada petang kelmarin.

“Saya dapat juga masuk ke rumah sekejap untuk mengambil dokumen penting dan memindahkan harta benda ke tempat lebih tinggi sebelum berpindah ke pusat pemindahan.

“Ketika rumah dinaiki air, adik perempuan dan ibu segera berpindah ke pusat pemindahan manakala bapa tiada di rumah kerana dia keluar bertugas sebagai anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) membantu memindahkan penduduk yang terjejas banjir,” katanya.

Marcellus berkata, rumahnya yang terletak di kawasan rendah dan berhampiran Sungai Membakut, memang biasa dinaiki air sehingga paras lutut, namun tidak menyangka bencana itu kali ini lebih buruk.

“Saya berharap pihak berwajib mendalam dan melebarkan sungai agar kawasan perkampungan kami tidak lagi mudah dilanda banjir.

“Kami sekeluarga sudah banyak menanggung kerugian harta benda disebabkan banjir,” katanya.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir yang masuk hari ketiga di daerah kecil Membakut setakat jam 2 petang tadi ialah 637 orang daripada 221 keluarga.

Mereka ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu Dewan Serbaguna Membakut, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Patrick dan Bangunan KAFA Membakut.

Pegawai Daerah Beaufort, Othman Shaid, berkata sebanyak 26 kampung terjejas akibat dinaki air susulan limpahan Sungai Membakut, manakala lapan jalan terputus akibat banjir, kebanyakannya membabitkan jalan kampung.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Maimunah Suhaibul, berkata dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jabang dan SK Kampung Brunei ditutup kerana dinaiki air yang menjejaskan 278 murid serta 39 guru. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.