Isa Samad Minta Tangguh Beri Keterangan – KPN

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad, yang sepatutnya memberi keterangan berkaitan kes penukaran hak milik tanah FELDA di Jalan Semarak, semalam, meminta penangguhan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata sebaliknya Isa dijangka memberi keterangan hari ini.

“Pagi tadi (semalam) saya dimaklumkan Tan Sri Isa akan memberi keterangan di Menara 238 (Ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial) pada jam 10 pagi.

“Namun saya kemudian menerima maklumat yang beliau tidak dapat hadir hari ini (semalam).

“Ini kerana beliau (Isa) minta tangguh sehingga esok (hari ini),” katanya ketika dihubungi BH, malam tadi.

Semalam, pada satu sidang media di Putrajaya, Mohamad Fuzi memberitahu wartawan bahawa Isa dipanggil untuk direkod keterangan berhubung isu pemindahan hak milik tanah FELDA bernilai lebih RM250 juta yang meragukan.

BH sebelum ini melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di sini, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

LAPORAN eksklusif BH mengenai FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, pada Disember 2017.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Isa adalah Pengerusi FELDA dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017

Pada 12 Disember lalu, FELDA membuat laporan berhubung kemungkinan berlaku penipuan dalam urusan penukaran hak milik tanah miliknya di Jalan Semarak, oleh syarikat Synergy Prominade Sdn Bhd.

Kes disiasat sebagai penipuan dan pemalsuan dokumen mengikut Seksyen 420 dan 471 Kanun Keseksaan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.