Ribut Petir, Hujan Lebat Berterusan Pagi Ini

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang di beberapa kawasan di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang dijangka berterusan sehingga jam 9 pagi ini.

Ia membabitkan daerah Kerian, Larut, Matang & Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak di Perak; Klang, Kuala Langat dan Sepang di Selangor; Daerah Rembau, Seremban dan Port Dickson di Negeri Sembilan serta Tangkak, Muar dan Batu Pahat di Johor.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan utara Condore dan utara Reef North, hari ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

“Ribut petir di perairan Phuket, Selat Melaka dan Reef South dijangka berterusan pagi ini yang boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter serta berbahaya kepada bot-bot kecil,” kata MetMalaysia dalam satu kenyataan pagi ini.

Sementara itu, ribut petir di perairan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor Barat dijangka berterusan dalam tempoh yang sama.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter serta berbahaya kepada bot-bot kecil. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.