Zarina Zainuddin Kesal Dihalau Peniaga Di Lumut

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zarina Zainuddin, kesal dengan sikap beberapa peniaga di sebuah lokasi di Lumut, Perak, yang didakwanya menghalau beliau daripada menjual pulut kuning di kawasan terbabit, beberapa hari lalu.

Katanya, ketika mahu memulakan perniagaan, beliau dihalang daripada berbuat demikian kerana kononnya tapak digunakannya sudah disewa orang.

Menerusi perkongsian di laman sosial Instagramnya Zarina berkata, beliau dan anaknya, Azil, baru saja tiba di lokasi terbabit apabila didatangi sepasang suami isteri yang berniaga buah.

“Saya baru sampai di sana dan tak tahu nak ke mana. Jadi, saya pun duduk sebentar dengan anak saya, Azil, di tepi bucu. Ada tempat duduk di sana.

“Memandangkan tiada parkir, saya turun dulu, minta adik mencari tempat letak kereta. Tiba-tiba datang sepasang suami isteri, peniaga buah, marah-marah suruh saya angkat pulut,” tulis pelakon itu.

Tambah Zarina, sikap pasangan suami isteri itu dianggap kurang sopan, apatah lagi mereka menjerit di depan anaknya yang mempunyai masalah autisme.

Kata pelakon itu lagi, anaknya juga jadi tidak tentu arah apabila terdengar jeritan tiba-tiba seperti itu.

Zarina turut menyifatkan, peniaga di situ sepatutnya tidak perlu risau mengenai persaingan memandang mereka menjual produk berlainan.

Dalam pada itu, beliau juga kesal dengan sikap segelintir orang Melayu yang berdengki di antara satu sama lain.

“Kalau berdengki macam ini, sampai bila pun orang Melayu tak boleh maju,” katanya.

Perkongsiannya itu sehingga kini mendapat lebih 32,000 ‘likes’ daripada netizen. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.