Audit Bermula Esok – Shahrir Samad

JOHOR BAHRU: Audit ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang dibangunkan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) atas tanah milik FELDA, akan bermula esok.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam proses audit berkenaan.

Katanya, dengan audit berkenaan, pihak yang terbabit dengan salah laku tidak akan terlepas.

“Saya harap siasatan polis terus berjalan dan audit juga akan bermula selepas diumumkan Khamis lalu. Ada dua siasatan satu jenayah dan proses urus tadbir yang dijalankan firma audit luar.

“Dapatan (hasil audit) jika ada tindakan disiplin atau salah laku yang lain, kalau terjumpa aspek yang boleh dikenal pasti sebagai salah laku, kita tidak akan berkompromi dengan soal tanah milik FELDA. Kita berpendapat pindah milik itu sebagai salah laku dan kita nak (mahukan) tanah itu balik,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas melawat Desa Datuk Hajah Hasnah Ahmad, di sini hari ini.

Beliau berkata, audit seumpama itu pernah dilaksanakan ketika isu penggantungan sementara Pengurus Besar FELDA pada Disember 2014.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dilaporkan berkata Jabatan Perdana Menteri (JPM) sudah melantik sebuah firma audit luar untuk melaksanakan audit forensik ke atas projek (KLVC) yang dibangunkan SPSB atas tanah milik FELDA.

Firma audit itu akan menjalankan audit forensik terhadap semua aktiviti, keputusan dan tindakan berkaitan dengan projek ini serta menilai semula proses pengawalan yang berkaitan, termasuk kelemahan dalam pentadbiran dalaman serta pengawasan FELDA ke atas FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Siasatan firma audit itu yang turut membabitkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijangka siap dalam tempoh 30 hari dan laporan penuh akan dikemukakan kepada JPM.

Pada 21 Disember lalu, BH melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di ibu negara yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Tanah itu kini dimajukan dengan projek KLVC membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik FELDA dikenali sebagai KLVC Tower1A.

Sehari selepas itu, Najib menerusi akaun Twitter beliau mahu siasatan terperinci dijalankan pihak berkuasa serta-merta dan tindakan akan diambil terhadap sebarang kecuaian atau salah laku, berasaskan laporan siasatan.

Dalam perkembangan lain, Shahrir berkata FELDA akan menggerakkan perhimpunan dan bantahan aman di Pejabat Kedutaan Kesatuan Eropah (EU) pada 16 Januari ini dan menyerahkan memorandum bantahan yang dijangkakan ditandatangani oleh 100,000 peneroka dan pekebun kecil.

“Ini susulan cadangan Parlimen EU yang menolak kemasukan sawit biodiesel dalam negara anggota kesatuan itu susulan dakwaan bahan terbabit menyebabkan pencemaran,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.