Jangan Pergunakan Kuasa Agong

KUALA LUMPUR: Kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam membatalkan kehilangan kelayakan seseorang individu untuk bertanding pilihan raya tidak seharusnya diambil mudah dan dipergunakan untuk kepentingan pihak tertentu.

Pakar perlembagaan yang juga Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz, berkata proses itu perlu dilalui dengan formaliti tertentu, mungkin boleh dipercepat atau perlukan masa yang panjang untuk diselesaikan.

“Ini kerana Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak secara bijaksana dalam memastikan calon yang bertanding dan akan mewakili rakyat dalam sistem demokrasi adalah mereka yang tidak dipersoalkan kredibilitinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, pakatan DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN), menerusi `Muafakat Pakatan Harapan’, menyatakan iltizam mendapatkan pengampunan diraja untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik mengambil alih pentadbiran negara.

Langkah itu bagi membolehkan Anwar yang akan dibebaskan pada 8 Jun depan, dapat segera berperanan dalam kerajaan Persekutuan dan kemudian diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan.

Shamrahayu berkata, Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa, seseorang akan hilang kelayakan bertanding PRU sekiranya disabitkan kesalahan di mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan.

Beliau berkata, kehilangan kelayakan itu terpakai ke atas seorang yang menjadi atau belum menjadi ahli Dewan, akan berlangsung selama lima tahun yang dikira dari tarikh individu yang disabitkan itu dibebaskan dari tahanan atau penjara.

“Namun kehilangan kelayakan boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.