Rutin Bersih Masjid Setiap Kali Banjir

PEKAN: Sudah menjadi kebiasaan sejak 14 tahun lalu bagi jemaah Masjid Kampung Aceh, dekat sini, bergotong-royong membersihkan pekarangan masjid itu selepas dilanda banjir.

Setiap kali musim tengkujuh melanda negeri ini, masjid berkenaan antara yang paling awal terjejas berikutan kedudukannya di kawasan yang agak rendah.

Tok Siak masjid itu, Mohd Rasik Ujang, 54, berkata biasanya pekarangan masjid itu akan digenangi air sehingga seminggu hingga menyebabkan kesukaran kepada jemaah sekitar kawasan terbabit.

“Perkara ini sudah menjadi kebiasaan bagi kami di kampung ini. Setiap tahun, air banjir memasuki kawasan pekarangan masjid dan bertahan antara lima hari hingga seminggu.

“Macam hari ini, sudah hari kelima dan air masih bertakung. Kami perlu membersihkan lantai dan kawasan untuk mengambil wuduk bagi keselesaan jemaah.

“Biasanya air banjir mencecah 1.5 meter memenuhi kawasan masjid dan tahun ini, mujur air tidak terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Rasik berkata, masjid itu digunakan penduduk Kampung Acheh dan Kampung Sungai Ganchong dekat sini dan boleh memuatkan kira-kira 300 jemaah untuk satu-satu masa.

Selain dijadikan tempat menunaikan solat Jumaat, katanya, masjid itu juga digunakan untuk kelas mengaji al-Quran dan kuliah agama bagi penduduk sekitar.

Beliau berkata, aktiviti gotong-royong membersihkan masjid ini, biasanya dilakukan ahli jawatankuasa masjid (AJK) dibantu penduduk setempat.

“Ketika banjir besar tahun 2013 dan 2014 lalu, ada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turun membantu membersihkan masjid serta kediaman penduduk di sini,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.