2018 Selesai Isu Rumah Tak Terjual

KOTA ISKANDAR: Kerajaan Johor yakin dapat menangani isu kediaman tidak terjual di negeri ini berikutan iklim pasaran perumahan dijangka lebih memberangsangkan, pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday, berkata isu perumahan tidak terjual antara fokus yang akan ditekankan pihaknya menerusi Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Bahagian Perumahan.

Katanya, yang penting sasaran bagi menjual semua unit kediaman atau menyelesaikan projek perumahan tergendala di seluruh negeri dapat dicapai.

“Antaranya projek Perumahan Harmoni Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) di Bandar Penawar, Kota Tinggi yang 500 unit masih ‘pending’, sudah setahun lebih disiapkan tetapi tidak boleh dijual.

“Selepas saya turun padang dan mengadakan pertemuan dengan beberapa jabatan, penyelesaian dapat dicapai dan dalam tempoh sebulan ini akan mula dijual,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat pada majlis Penyampaian Amanat EXCO kepada Penjawat Awam Johor bagi tahun 2018 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Datuk Azmi Alias dan Setiausaha SUK Bahagian Perumahan, Mohd Radzi Mohd Amin.

Pada majlis sama, turut diadakan bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) lebih 100 penjawat awam yang hadir sambil disaksikan Md Jais dan Azmi.

Md Jais berkata, berdasarkan hasil mesyuarat pertama dipengerusikannya pada awal bulan ini, beliau jangka isu perumahan tidak terjual di Johor boleh dicapai (diatasi).

“Apa yang penting kita kena turun padang, sebab apa yang saya perhatikan sesetengah projek itu antara jabatan tidak ada hubungan, itu yang menyebabkan timbul masalah,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.