‘Bermain’ Dengan Makhluk Halus

TUMPAT: Dua kanak-kanak yang hilang lebih dua jam, ditemui dalam keadaan basah kuyup, kotor dan kebingungan.

Nik Nur Ariesa Nik Muhd Zurairi dan sepupunya, Nurul Husna Ab Hadi, masing-masing berusia enam tahun, ditemui di sebuah belukar kira-kira 50 meter dari rumah mereka di Kampung Tok Malek, di sini, pada jam 2.30 petang semalam.

Ibu Nurul Husna, Hazama Hassan, 44, berkata ketika ingin menjemput anak bongsunya dari tadika kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, beliau dimaklumkan guru bahawa dua sepupu itu sudah keluar.

“Saya mencari mereka di beberapa kedai runcit sekitar namun tidak jumpa dan berita kehilangan itu cepat tersebar menyebabkan orang kampung membuat gerakan mencari.

“Sebaik masuk waktu Zuhur, jemaah di surau berhampiran melakukan solat hajat.

“Tidak lama selepas itu kelibat Nik Nur Ariesa muncul, diikuti Nurul Husna dalam keadaan tidak bermaya dan comot,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Sebaik ditemui, Hazama terus memandikan anaknya yang masih dalam kebingungan dan menemui beberapa ekor lintah di bahagian kaki serta paha anaknya.

Kedua-dua kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Wakaf Bahru untuk rawatan.

Hazama berkata, kedua-dua kanak-kanak itu memberitahu seorang wanita yang mengajak mereka bermain di kolam dan menangkap ikan sedangkan lokasi sebenar adalah kawasan baruh dan bendang padi.

Beliau berkata, Nurul Husna juga memberitahu ternampak datuknya, Ismail Mat, 75, mengayuh basikal untuk ke kebun kelapa dan memanggilnya, namun datuknya itu tidak mendengar sedangkan jarak mereka tidak terlalu jauh.

“Saya tidak menolak kemungkinan kehilangan anak dan anak saudara saya ini ada kaitan dengan makhluk halus kerana lokasi mereka ‘bermain’ itu juga diketahui agak keras.

“Saya bersyukur mereka ditemui dalam keadaan selamat walaupun mereka masih trauma dan tidak banyak bercakap,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.