Kerajaan Komited Lahirkan 125,000 Huffaz

PUTRAJAYA: Kerajaan komited untuk melahirkan 125,000 huffaz menjelang 2050, yang bukan saja mampu menghafal al-Quran tetapi juga mahir dalam disiplin dan bidang ilmu profesional.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ketika ini negara sudah pun mempunyai hampir 80,000 huffaz yang sedang melanjutkan dan sudah tamat pengajian.

“Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sendiri sudah pun melahirkan hampir 3,800 graduan yang sebahagian besar daripada mereka ini pun sudah menjadi profesional. Mereka ada program bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Ini bermakna, selepas mereka habis saja menghafal 30 juzuk al-Quran, mereka menyambung pengajian dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan sebagainya. Ini bukan perkara baharu dan menjadi teras iltizam kerajaan, sejajar dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Isu dan Cabaran Terkini Pengurusan Sekolah Tahfiz/Agama’ pada Multaqa Dakwah dan Pemikiran Islam Majlis Perundingan Islam (MPI) 2018 dengan tema ‘Transformasi Dakwah dan Pemikiran Islam’ di sini, hari ini.

Selain itu, Asyraf Wajdi berkata, komitmen kerajaan dalam melonjakkan institusi tahfiz di negara ini dapat dilihat melalui pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN).

“Langkah ini bertujuan memastikan institusi pendidikan tahfiz Al-Quran di negara ini terus subur dan diperkasakan,” katanya.

Berhubung cadangan supaya diwujudkan institusi bagi melatih guru tahfiz, Asyraf berkata, perkara itu diserahkan kepada pihak tertinggi kerajaan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.