Nora Mahu Lahir Anak Pada Hari Jadinya

KUALA LUMPUR: Sedang menghitung hari untuk menimang cahaya mata kedua, Nora Danish mengharapkan anak dalam kandungannya dilahirkan sama dengan tarikh hari lahirnya, 7 Mac.

Ketika ini, kandungan bintang filem, Makrifat Cinta, itu sudah berusia tujuh bulan.

“Jika diikutkan jangkaan doktor, saya akan bersalin pada 9 Mac depan. Begitupun menjadi harapan saya, kalau boleh, biarlah bayi ini lahir pada tarikh sama dengan hari jadi saya.

“Saya hanya mampu berdoa, selebihnya saya serahkan kepada ketentuan Tuhan. Apa yang lebih penting, saya berharap bayi yang bakal lahir ini sihat dan cukup sifat,” kata isteri Nedim Nazri ini kepada BH Online.

Kata Nora, 35, antara orang paling gembira dan teruja menantikan kelahiran si kecil ialah anak sulungnya, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 9 tahun.

“Bukan saya dan Nedim saja yang teruja menghitung hari menanti kelahiran bayi ini, Rayqal juga sama-sama tidak sabar. Sejak awal perkahwinan saya lagi, dia memang mahukan adik,” katanya.

Rayqal ialah cahaya mata hasil perkahwinan pertama Nora, dengan Rizal Ashram Ramli. Mereka berpisah pada 2008.

Pelakon, Nora Danish pada Majlis Pelancaran kosmetik ‘Oh Most Wanted’ di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur. – Foto Aziah Azmee

Sementara itu, berkongsi mengenai produk kosmetik miliknya, Nora berkata, Oh Most Wanted sebenarnya sudah dua tahun berada di pasaran. Cuma, tiada pengumuman dibuat mengenainya berikutan Nora sebelum ini terikat dengan jenama lain.

“Saya juga tidak bersendirian menguruskan produk ini, sebaliknya mempunyai lima lagi rakan kongsi, termasuk suami. Saya tidak sangka, Oh Most Wanted dapat bergerak dengan pantas, walaupun ramai yang tidak tahu siapa di belakang produk ini.

“Inilah rangkaian perniagaan saya yang terbaharu. Memiliki empat produk bagi rawatan kulit, ia juga akan memasuki pasaran Indonesia, Thailand, Filipina dan Eropah tidak lama lagi,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.