Pembangunan Melaka Bukti Manifesto Di Landasan Tepat

AYER KEROH: Kejayaan Melaka mengurus tadbir ekonomi, pembangunan infrastruktur, pelancongan dan menarik pelaburan asing menjadi bukti yang manifesto kerajaan berada di landasan tepat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata sepanjang lima tahun lalu, negeri ini terus mencatat pertumbuhan ekonomi yang pesat daripada kedudukan ke-12 pada 2013 kepada kedudukan kelapan di negara ini dengan pertumbuhan ekonomi 4.5 peratus.

Beliau berkata, jumlah pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sebanyak RM27.9 bilion dan pendapatan perkapita RM35,699 yang dicatatkan pada 2013 turut meningkat kepada RM33.2 bilion serta pendapatan perkapita RM41,363 pada tahun lalu.

“Angka ini selari dengan pencapaian Malaysia dan menghampiri taraf negeri berpendapatan tinggi seperti digariskan Bank Dunia.

“Antara penyumbang kepada statistik ini ialah pelaburan mega dari China dan beberapa pelaburan lain. Dalam tempoh 2013 hingga 2017, kita berjaya membawa masuk pelaburan sebanyak RM17.1 bilion dan ini tidak termasuk pelaburan yang sudah dipersetujui, menjadikan jumlahnya lebih RM22 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan Amanat Ketua Menteri Melaka ‘Ke Arah Melaka Moden, Makmur dan Berdaya Saing 2013 – 2018’ di Dewan Seri Negeri, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar dan barisan EXCO Kerajaan Negeri Melaka.

Sementara itu, Idris berkata, sehingga November lalu, sejumlah 15.65 juta pelancong mengunjungi Melaka dengan pelancong China mendahului, diikuti Singapura, Indonesia dan lain-lain.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut meletakkan sasaran menerima sejumlah 17.5 juta pelancong pada tahun ini, sekali gus berusaha melaksanakan beberapa lagi projek pelancongan baharu di negeri ini.

“Kita percaya, apabila jejambat bertingkat di persimpangan Pusat Dagangan Antarabangsa MITC dan Peringgit dijangka siap pada Jun ini, ia mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.