Pensyarah Rugi RM100,000 Ditipu ‘Datuk’

LIMBANG: Seorang pensyarah universiti awam mendakwa kerugian RM100,000 selepas terpedaya tawaran lelaki mengaku bergelar ‘Datuk’ yang mempelawa menjadi rakan kongsi pelaburan dengan pulangan antara 18 hingga 20 peratus sebulan.

Pensyarah lelaki berusia 47 tahun itu berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai pemilik sebuah syarikat pelaburan dan menawarkan keuntungan selama 10 tahun pada Jun tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata suspek juga meyakinkan mangsa dengan menjanjikan tawaran melancong.

Katanya, mangsa yang yakin dengan penampilan suspek, menyerahkan wang tunai RM100,000 dengan memindahkan wang ke akaun syarikat suspek pada Jun lalu.

“Selepas lebih tiga bulan menunggu, keuntungan yang dijanjikan tidak diperoleh, selain suspek berdalih dengan memberikan pelbagai alasan setiap kali diajukan pertanyaan mengenai keuntungan itu.

“Mangsa akhirnya tampil membuat laporan polis di Balai Polis Limbang, Jumaat lalu memohon tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa,” katanya di sini hari ini.

Mohd Bukhori berkata, polis sedang menjalankan siasatan untuk mengesan suspek berdasarkan maklumat diperoleh daripada mangsa yang kini berada di Sabah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.