Pukul Ibu: Pemotong Rumput Dipenjara Tujuh Tahun, Tiga Sebatan

KUANTAN – “Saya nak jumpa emak sebelum menjalani hukuman, saya nak minta maaf,” itu rayuan seorang pemotong rumput selepas dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan mencederakan ibu kandungnya pada Khamis lalu.

Sebelum prosiding dimulakan, tertuduh Mohd Rafi Ab Aziz, 25, yang memakai jaket berwarna kelabu dengan keadaan tangan bergari sebelum itu kelihatan tercari-cari seorang ketika dibawa masuk oleh anggota polis pengiring ke dalam Mahkamah Sesyen 4.

Sebaik pertuduhan dibacakan, tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk faham dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencederakan ibunya Mea’ah Abd Majid, 64, dengan cara menghentak kepala mangsa menggunakan batang besi mesin pemotong rumput di sebuah rumah di Bukit Sagu 1 pada kira-kira 5 petang, 4 Jan lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan oleh Hakim Siti Aminah Ghazali, Mohd Rafi merayu bagi hukuman lebih ringan memandangkan dia menghidap penyakit angin pasang selain perlu menanggung ibunya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.