Kementerian Kesihatan Hilang Khidmat 986 Doktor Pakar

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan kehilangan khidmat 986 doktor pakar dalam pelbagai bidang sejak tujuh tahun lalu apabila mereka meletak jawatan dan berhijrah ke pusat perubatan swasta.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata purata kehilangan itu adalah sekitar 106 hingga 170 orang setiap tahun antara 2011 hingga 2017.

Katanya, jumlah itu meningkat dari tahun ke tahun dengan majoriti yang meletakkan jawatan berada pada gred UD53 dan ke atas.

“Pada tahun lalu, seramai 170 doktor pakar yang bekerja di hospital kerajaan meletakkan jawatan dan masing-masing berhijrah ke pusat perubatan swasta.

“Sukar untuk kita mengimbangkan pendapatan doktor yang berkhidmat di swasta dengan sektor awam namun kita sedang cuba untuk mengecilkan jurang berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Subramaniam berkata, kehilangan doktor pakar memberi kesan besar kepada kementerian kerana hampir semua mereka sudah lama berkhidmat selain mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing.

“Oleh itu, menerusi Bajet 2018, setiap pakar perubatan gred UD54 dan ke atas diberi kelonggaran satu hari dalam seminggu semasa tempoh waktu bekerja untuk menambah pendapatan masing-masing.

“Mereka juga boleh menjalankan penyelidikan perubatan yang ditaja oleh industri melalui Clinical Research Malaysia (CRM) atau menjadi tenaga pengajar untuk tujuan latihan pelajar universiti awam (UA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

“Selain itu, mereka juga boleh menjalankan pekerjaan luar di sektor swasta dengan mengambil kira syarat tertentu termasuk isu liputan atau kos insurans,” katanya.

Dr Subramaniam berkata, pelaksanaan waktu kerja fleksibel itu adalah antara usaha untuk menggalakkan lebih ramai pakar perubatan terus berkhidmat dengan kementerian.

“Inisiatif ini juga dapat merapatkan jurang pendapatan antara doktor pakar di sektor awam dan swasta selain meningkatkan bilangan penyelidik dalam bidang perubatan dan kesihatan.

“Malah, ia juga dapat merangsang pemindahan pengetahuan kepada pelatih perubatan dan anggota kesihatan dalam pelbagai bidang pengajian,” katanya.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata pihaknya juga berusaha meningkatkan bilangan pengeluaran pakar perubatan melalui laluan selari (parallel) dengan program sarjana perubatan di UA.

“Pada tahun lalu, sebanyak 30 peratus bilangan pakar yang dikeluarkan adalah dari laluan selari berbanding hanya 13 peratus pada 2009.

“Sehingga 31 Disember lalu, terdapat seramai 950 pegawai perubatan yang menyertai program kepakaran melalui laluan kepakaran selari sudah berdaftar dengan Bahagian Perkembangan Perubatan mengikut bidang kepakaran,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.