Pekan Masih Banjir

KUANTAN: Mangsa banjir di Pahang meningkat sedikit kepada 383 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 325 orang malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusof, berkata daerah Pekan mencatatkan pertambahan daripada 270 orang kepada 308 orang di lima pusat pemindahan.

Katanya, pusat berkenaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Temai yang menempatkan 122 orang, Pusat Pemindahan Pulau Manis (75 orang), Dewan Serba Guna Tanjung Pulai (39 orang), SK Acheh (34 orang) dan Pusat Pemindahan Kampung Lamir (38 orang).

Beliau berkata, jumlah mangsa banjir di Raub, turut bertambah daripada 49 orang kepada 69 orang yang ditempatkan di Masjid Jamek Kuala Semantan (30 orang), Balai Raya Kampung Tersang (26 orang) dan Surau RRM Cheroh (13 orang).

Menurut beliau, dua lagi daerah kekal masing-masing mencatatkan pemindahan tiga sekeluarga di Balai Raya Kampung Baru Pertanian di Maran dan Dewan Terbuka Kampung Serau di Lipis. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.