Kerajaan Sasar Penerbitan 31,700 Judul Buku Menjelang 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan penerbitan negara mencapai 31,700 judul setahun menjelang 2020 berbanding 19,713 pada tahun lalu seiring jumlah penduduk Malaysia sekitar 31.7 juta sekarang.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sasaran itu adalah berdasarkan standard penerbitan negara maju yang disyorkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu iaitu satu judul bagi setiap 1,000 penduduk.

“Patik percaya sasaran yang disebut tadi dapat dicapai dengan adanya penggemblengan usaha serta sokongan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta serta pihak yang terlibat secara langsung dalam industri,” katanya.

Mohamed Nazri berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis pelancaran buku ‘Istana Pahang: The Palace of Pahang’ terbitan Universiti Putra Malaysia (UPM Press) di Perpustakaan Negara Malaysia, di sini hari ini.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan melancarkan buku berkenaan yang ditulis oleh Orang Besar Istana Pahang Datuk Seri Halim Ibrahim dan pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan UPM Prof Madya Datuk Dr Norhasni Zainal Abidin. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.