Sungai Utama Kelantan Melepasi Paras Amaran

RANTAU PANJANG: Paras air Sungai Golok di negeri Kelantan sudah melebihi paras amaran selepas hujan lebat sejak dua hari lalu.

Mengikut laporan publicinfobanjir.water.gov.my, setakat jam 11 pagi ini, paras air Sungai Golok pada bacaan 8.73 meter, melepasi paras amarannya iaitu lapan meter.

Selain Sungai Golok, Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang turut melebihi paras amaran pada 58.56 meter, manakala Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai (33.64 meter), Sungai Lebir di Kuala Krai ( 27.42 meter) dan Sungai Kelantan di Kuala Krai (20.49 meter) mencecah paras waspada.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Adni Ibrahim, berkata pihaknya sudah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan memandangan cuaca yang tidak menentu.

“Jika hujan lebat masih berterusan banjir dijangka berlaku malahan beberapa kawasan rendah di sini mula dinaiki air.

“Antara kawasan dinaiki air seperti di Kampung Lanchang, Kampung Jejawi, Kampung Putat Tujuh dan Kampung Tasek Bakong, di sini.

“Penduduk diminta untuk sentiasa bersedia dan mengambil tindakan awal mengemas dan menyimpan dokumen penting bagi menghadapi banjir,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Adni berkata, biasanya jika paras air Sungai Golok sudah mencapai 10.4 meter, penduduk akan diarahkan berpindah ke tempat yang lebih selamat.

“Keadaan cuaca yang mendung dan hujan lebat boleh meningkatkan lagi paras air sungai menyebabkan ia boleh melimpah dan banjir pada bila-bila masa.

“Namun sekarang ini semuanya masih terkawal selain semua jalan utama ke pekan ini masih boleh dilalui,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.