17 Remaja Geng Basikal Lajak Ditahan

LANGKAWI: Gara-gara mengubah suai dan menunggang basikal secara berbahaya, 17 remaja lelaki ditahan dalam Ops Basikal Lajak selama tiga jam, di Jalan Kuala Teriang dan Padang Matsirat, di sini.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Langkawi, Asisten Superintendan Ahmad Shukri Ramli, berkata dalam operasi bermula 5 petang semalam dan berakhir jam 8 malam tadi, pihaknya turut menyita basikal remaja terbabit sebagai usaha mencegah aktiviti samseng jalanan.

“Operasi dilakukan susulan penularan video 10 saat dalam media sosial yang memaparkan aksi berbahaya sekumpulan remaja dipercayai menyertai lumba basikal lajak sekitar Langkawi beberapa hari lalu.

“Sepasukan anggota trafik mengesan sekumpulan 17 remaja berusia antara 12 dan 16 tahun mempamerkan aksi berbahaya menggunakan basikal lajak di Jalan Kuala Teriang dan Padang Matsirat, sebelum polis bertindak menahan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini.

Ahmad Shukri berkata, pemeriksaan mendapati semua basikal kumpulan remaja terbabit diubah suai dan tidak mempunyai sistem brek, sekali gus mengundang bahaya.

“Sejurus ditahan, 17 remaja terbabit dibawa ke Bahagian Trafik Langkawi untuk siasatan lanjut sebelum memanggil waris mereka untuk diambil keterangan bagi kes sama.

“Basikal mereka disita untuk siasatan mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis turut mengeluarkan saman di bawah Peraturan 42 (1) LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 kerana mengubah suai basikal,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, semua remaja terbabit dibebaskan selepas bayaran saman dijelaskan oleh waris masing-masing.

“Kumpulan remaja terbabit menerima amaran lisan daripada pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi (PPDL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut tiba di pejabat Bahagian Trafik Langkawi malam tadi selepas dihubungi polis.

“Polis, PPDL dan JPJ akan terus membuat pemantauan kerana aksi berbahaya mereka bukan sahaja menyalahi undang undang, malah boleh mengundang kemalangan kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.