MBFM Desak Kerajaan Turut Sekat Produk Negara EU

KUALA LUMPUR – Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) hari ini mendesak kerajaan Malaysia agar mengenakan tindakan yang sama untuk menyekat kemasukan barangan atau produk dari negara Kesatuan Eropah (EU) ke negara ini.

Muhammad Fadzli Hasan, Presiden MBFM dalam satu majlis sidang media hari ini berkata, Malaysia berhak bertindak dengan membuat sekatan produk dari negara EU kerana ketidakadilan dan diskriminasi sekatan eksport minyak sawit Malaysia ke negara EU.

“MBFM berpendapat resolusi Parlimen Eropah pada bulan April 2017 tahun lalu adalah satu tindakan diskriminasi kepada produk kelapa sawit. MBFM membantah sekerasnya diskriminasi sekatan eksport minyak sawit ke negara EU.

“Meski pun kita berharap ianya tidak akan dilaksanakan (Sekatan Produk Sawit) namun jika ianya berlaku, kita juga boleh bertindak dengan perkara sama terhadap produk (EU) kerana ketidakadilan ini. Negara Asia Tenggara juga merupakan negara pengimport barangan mereka dan kita mendesak kerajaan supaya turut membuat sekatan ke atas produk mereka,” kata Muhammad Fadzli.

Tambah Muhammad Fadzli, diskriminasi sekatan itu akan turut menjejaskan sumber pendapatan peneroka-peneroka FELDA berikutan pengeluaran minyak hasil usaha dari peneroka amat tinggi dalam setahun.

Malah, ia juga akan mempengaruhi kestabilan ekonomi negara.

“Kelapa sawit adalah antara penyumbang utama eksport negara dengan nilaian eksport lebih RM60 bilion setahun. Ianya juga melibatkan lebih 600,000 orang pekebun kecil sawit dan di dalam jumlah itu terdapat 112,635 orang peneroka FELDA yang akan terjejas pendapatan mereka kerana FELDA mengeluarkan sekurang-kurangnya 3.3 metrik tan bagi tempoh setahun. Sekatan EU ini akan memberi kesan kepada peneroka FELDA dan mempengaruhi kestabilan ekonomi negara,” tambahnya.

Selain itu, MBFM akan mengambil langkah menulis surat dan beberapa cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mewakili warga FELDA bagi mempertahankan hak-hak peneroka FELDA.

MBFM turut menyokong tindakan negara yang terlibat dengan Malaysia iaitu Indonesia dan Thailand yang bergabung untuk bertindak atas ancaman sekatan oleh EU.

Selain tiga negara ini, negara Papua New Guinea juga menentang diskriminasi sekatan eksport minyak sawit ke negara EU.

Tahun lalu pelbagai tindakan dan perbincangan telah diadakan oleh pihak kerajaan bagi menangani diskriminasi ini bagi menyelaras usaha berterusan mencari keadilan bagi semua negara pengeluar minyak sawit.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.