Noh Salleh Suka Lari

KUALA LUMPUR: Masalah kesihatan tidak menjejaskan semangat vokalis Hujan, Noh Salleh, terus aktif dalam bidang nyanyian.

Menjalani pembedahan membuang batu karang pada 25 November lalu, Noh tetap bersemangat membuat persembahan solo di Festival GegaRia di Shah Alam, Sabtu lalu.

“Saya baru selesai menjalani pembedahan batu karang. Alhamdulillah, semuanya lancar dan saya perlu minum lebih banyak air kosong.

“Semuanya berpunca daripada tabiat suka menahan membuang air kecil dan tidak minum air kosong. Saya juga terlalu fokus dengan jelajah kumpulan Hujan hingga mengabaikan kesihatan, namun saya mengambil ikhtibar daripada kejadian itu.

“Hujan sepatutnya membuat persembahan di Festival GegaRia. namun anggota kumpulan terikat dengan komitmen lain. Jadi, saya memilih untuk menyanyi secara solo kali ini,” katanya kepada BH.

NOH Salleh sebelum membuat persembahan di Festival GegaRia di tapak letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam . – Foto Syarafiq Abd Samad

Festival GegaRia anjuran Media Prima Berhad (MPB) diadakan di Tapak Letak Kereta B, Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Sabtu lalu, turut menampilkan Akim & The Majistret, De Fam, Mas Dur dan Bunkface membuat persembahan.

Noh mengaku tidak sabar untuk kembali aktif, apatah lagi mula mengamalkan rejim kecergasan dengan berlari atau jogging.

“Doktor memberi lampu hijau untuk saya kembali bersukan, asalkan tidak sakit, boleh saja. Rindu rasanya hendak kembali berlari demi kesihatan dan stamina di pentas.

“Sebenarnya, saya dulu ketawakan orang yang gemar berlari untuk bersenam. Tak sangka serasi pula dengan saya. Saya turut mengajak peminat untuk sihat bersama saya,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.