Pantang Maut Sebelum Ajal

MERSING: Seorang lelaki terselamat selepas kereta dipandunya terjatuh ke dalam gaung akibat tanah runtuh di Kilometer 16 Jalan Jemaluang-Mersing, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi tadi, Swee Ah Peng, 60, yang memandu Honda CRV, cedera ringan dan dibawa ke Hospital Mersing bagi pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 2.30 pagi mengenai kejadian tanah runtuh dan mendap di laluan berkenaan.

“Laluan ini tidak selamat untuk dilalui oleh mana-mana kenderaan ringan atau berat dan ditutup sepenuhnya.

“Pengguna jalan raya yang mahu ke Johor Bahru atau Mersing, boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Nitar-Jemaluang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Mersing dalam satu laporan menyebut, kawasan cerun yang runtuh adalah sepanjang 70 meter dan berketinggian 15 meter.

“Jalan ditutup untuk semua kenderaan. Orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Jemaluang-Jalan Nitar Utama-Jalan Pengkalan Batu.

“Papan tanda amaran sudah dipasang di lokasi kejadian dan pasukan bertindak sentiasa memantau keadaan di tapak runtuhan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.