Seniman Sedia Bantu Farid Kamil Dalam Pelbagai Aspek

KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sedia membantu pelakon dan pengarah filem terkenal Datuk Farid Kamil Zahari dalam pelbagai aspek termasuk khidmat kaunseling sekiranya diperlukan.

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata persatuan turut memohon semua pihak agar berhenti membuat sebarang spekulasi berikutan penahanan pelakon itu berhubung kes menampar seorang anggota polis dan menendang dua orang awam, Khamis lepas.

“Orang ramai harus beri ruang pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang gangguan. Kita juga harus menghormati serta memberi sedikit ruang buat keluarga Farid untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lepas, Farid yang diwakili Peguam Athari Bahardin ditahan reman empat hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes itu. Perintah reman terhadap Farid dilanjut sehari lagi hari ini.

Sementara itu menurut Hafiz, Seniman akan melakukan siasatan terperinci berkenaan dakwaan pelbagai masalah dihadapi artis di set penggambaran misalnya waktu bekerja lebih masa dan layanan tidak setimpal pihak produksi. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.