Sultan Pahang Sihat – Menteri Besar Pahang

BENTONG: “Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dalam keadaan sihat, semua  excellent,” tegas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Kenyataan Adnan itu sebagai menjawab dakwaan sesetengah pihak kononnya baginda gering.  Ini berikutan penularan sebuah video yang memaparkan keadaan Sultan Pahang.

“Tuanku Sultan dari segi vital sign iaitu tekanan darah, nadi dan sebagainya, serta systemic finding seperti jantung, paru-paru, buah pinggang semuanya dalam keadaan terbaik.

“Tuanku boleh keluar walaupun kena bergerak atas wheelchair,  ada masa Tuanku boleh berjalan… cuma atas faktor usia, Tuanku lebih suka naik wheelchair dan suka beristirehat sahaja,” katanya.

Adnan bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Anak Pahang (BAP) di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini, Isnin.

Pada majlis itu seramai 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangi menerima bantuan persekolahan berupa wang tunai berjumlah RM200 tiap seorang.

Adnan berkata sebelum ini tugas memerintah negeri diberikan kepada Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah bagi membolehkan baginda menimba pengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Sebab itu tugas-tugas itu diberikan kepada anakanda baginda Tengku Abdullah,” tegas Adnan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.