Pelajar Cedera Jatuh Bangunan

KUALA BERANG: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima yang dipercayai mengalami kemurungan, terjatuh dari tingkat satu bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenagor di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, mangsa yang cedera di kepala, dikejarkan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk rawatan pemeriksaan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata pegawai penyiasat dan pegawai perhubungan sekolah sudah menemui mangsa di hospital selepas menerima laporan kejadian berkenaan kira-kira jam 10 pagi.

“Berdasarkan perbualan dengan bapa pelajar itu, kami dimaklumkan mangsa sering kemurungan dan mengalami halusinasi.

“Bapa mangsa juga memaklumkan anaknya sudah bertukar dua sekolah kerana masalah yang dihadapi itu,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan, pelajar itu mendaftar di sekolah berkenaan pada 3 Januari lalu. Sebelum ini, dia bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

LOKASI seorang pelajar Tingkatan Lima di SMK Jenagor, yang terjatuh dari tingkat satu. – Foto PDRM

Difahamkan, adik mangsa berusia 16 tahun yang turut bersekolah di SMK Jenagor, diberi tanggungjawab memantau kakaknya itu.

Mohd Adli berkata, mangsa mengalami kemurungan sejak dua tahun lalu dan pernah dihantar bapanya ke Madrasah Khairul Insan, Jenagor, untuk memulihkan penyakit kemurungan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.