SPRM Cekup Pengurus Syarikat Disyaki Buat Tuntutan Palsu

JOHOR BAHRU: Seorang pengurus syarikat swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM8,000 kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Segamat pada tahun 2005.

Hasil siasatan yang dijalankan, suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu berkenaan bagi kerja pembekalan program AADK, sedangkan kerja itu tidak dilaksanakan.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Cawangan Segamat kira-kira jam 3 petang tadi bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Dalam serbuan yang dijalankan di pejabat suspek di Taman Utama Segamat, pasukan penyiasat menyita beberapa dokumen berkaitan kerja pembekalan berkenaan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM 10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit bagi membantu siasatan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.