Cheng Long Bungkus Awal

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016, Chen Long mengaku kecewa dengan permulaan hambar untuk musim 2018 apabila ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama Masters Malaysia, hari ini.

Bintang perseorangan lelaki China itu terpaksa akur apabila tewas di tangan pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting 21-17, 21-15 di Arena Axiata Bukit Jalil.

Bagi Chen Long, ia bukanlah permulaan yang diharapkan untuk kejohanan pertama 2018 apatah lagi dia pernah memenangi gelaran juara di Malaysia.

“Memang kecewa kerana saya mengharapkan sesuatu yang positif untuk kejohanan pertama 2018. Namun, saya gagal beraksi pada tahap terbaik hari ini selain keputusan pengadil yang saya rasakan tidak betul.

“Sepanjang 20 tahun beraksi dalam kejohanan kompetitif, belum pernah saya melakukan servis pendek tetapi dibatalkan. Keputusan pengadil ini sedikit sebanyak menjejaskan rentak keseluruhan permainan saya hari ini,” kata Chen Long yang menjuarai Terbuka Malaysia 2015.

Sementara itu, Anthony berkata, Chen Long tidak beraksi pada tahap terbaiknya dan ia memudahkannya untuk mengatur serangan bagi mengutip mata demi mata.

“Ini bukanlah kemenangan pertama saya ke atas Chen Long kerana pernah bertemu dua kali sebelum ini dengan rekod pertemuan adalah 1-1. Jadi, saya memang ada keyakinan untuk melakar kemenangan hari ini,” kata Anthony.

Dalam pada itu, pilihan keempat kejohanan dari Korea Selatan, Son Wan Ho turut ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama apabila tewas kepada pemain perseorangan lelaki Malaysia, Liew Daren 21-15, 21-13.

“Saya gembira dan tidak jangka dengan kemenangan ini. Bukan mudah untuk menewaskan Wan Ho tetapi mungkin disebabkan ini adalah perlawanan pertama dia berbanding saya (dua aksi pusingan kelayakan) dan dia belum dapat menyesuaikan diri dengan gelanggang,” kata Daren yang menjuarai Terbuka Perancis 2012 ketika di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.