Gempa Bumi 2.5 Landa Madinah

MADINAH : Satu gempa bumi berukuran 2.5 melanda tanah suci di sini semalam.

Jurutera Persatuan Geologi Arab Saudi, Hani Zahran berkata, pusat gempa itu berada 14 kilometer dari barat daya Madinah dengan kedalaman 7 kilometer.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam, Kolonel Khalid Al-Johani, berkata pihaknya menerima laporan gegaran di kawasan kediaman di barat Madinah pada jam 3 petang, semalam.

Sementara itu jurucakap Lembaga Perlindungan Alam Sekitar dan Meteorologi, Tariq Aba Al-Khail berkata, gegaran itu sangat lemah dan tidak berbahaya, sekali gus tidak mendatangkan sebarang kerosakan.

“Gegaran kecil seperti ini adalah perkara biasa di Arab Saudi,” katanya.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam, Brigedier Jeneral Abdulrahman Al-Harbi turut mengarahkan pakar pertahanan awam dan Jabatan Kajian Geologi Arab Saudi untuk mengeluarkan laporan berkaitan. – Agensi

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.