‘Ika Kata Ada Orang Ugut Dia…’

GOMBAK: Remaja perempuan yang dilaporkan hilang bersama adik lelaki berusia tiga tahun ketika ke kedai di Taman Setia Batu 16 Rawang di sini semalam, didakwa menerima ugutan daripada seorang lelaki beberapa hari lalu.

Ibunya, Jamaliah Mohd Sidek, 38, mengakui pelik melihat perubahan anak sulungnya itu, Nur Syafikah Zaki, 15, yang tiba-tiba menjadi muram dan tertekan.

“Ada sehari tu saya lihat Ika (panggilan Nur Syafikah) muram, saya tanya dia kenapa.

“Dia beritahu takut sebab ada orang ugut nak bunuh dia. Dia bimbang kalau ada apa-apa yang buruk berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Jamaliah berkata, Nur Syafikah kali terakhir dapat dihubungi semalam oleh wanita yang mengambilnya bekerja secara sambilan.

“Saya cuba telefon Ika tapi tak dapat. Lepas tu majikan dia pula telefon kerana Ika sepatutnya kerja.

“Ika jawab dan menjerit memanggil namanya sebelum telefon itu dirampas dan dimatikan,” katanya.

Nur Syafikah tidak lagi bersekolah berikutan kemiskinan dan bekerja sambilan di pasar malam dengan menjual kacang untuk membantu ibunya menyara tiga lagi adiknya.

Jamaliah yang tertekan dengan kehilangan dua anaknya itu, berharap mereka segera ditemui.

Nur Syafikah bersama adik keempatnya, Aiman Daniel tidak kembali ke rumah selepas ibu mereka menyuruh membeli susu kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Susulan kehilangan dua beradik itu, keluarganya membuat laporan polis di Balai Polis Rawang pada jam 10.30 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kehilangan dua beradik itu.

“Kita buka kertas siasatan sebagai Orang Hilang (OH) dan usaha mengesan dua beradik itu sedang dilakukan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.