Mangsa Banjir Di Dua Negeri Berkurangan

KUALA LUMPUR – Keadaan banjir di dua negeri bertambah baik dengan jumlah mangsa yang di tempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di Segamat berkurangan kepada 33 orang daripada lapan keluarga pagi ini berbanding 34 orang daripada sembilan keluarga, malam tadi.

Pengerusi Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata setakat 8 pagi, pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Gemereh 4 Batu Badak menempatkan seramai 29 orang daripada tujuh keluarga manakala Pusat Aktiviti Belia Kampung Tekam pula menempatkan empat orang daripada sebuah keluarga.



“Kesemua mangsa merupakan penduduk Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Tekam,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ayub berkata cuaca di sekitar Segamat dilaporkan cerah dan pemantauan terhadap banjir masih dilakukan agensi berkaitan.

Sementara itu di PAHANG seramai 102 mangsa banjir masih berada di dua PPS di Pekan, setakat 8 pagi ini.

Menurut Portal InfoBanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua PPS yang masih beroperasi ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Temai yang menempatkan 93 mangsa daripada 24 keluarga.

Baki sembilan mangsa daripada dua keluarga pula ditempatkan di SK Acheh. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.